Berita baik buat para peminat siri OTT terkenal, "Mirzapur" apabila terdapat pelbagai spekulasi mengenai pembikinan musim ketiga dan kemunculan semula watak kegemaran ramai, Phoolchand Tripathi atau Munna, lakonan Divyendu Sharma.

Pada asalnya, penerbit siri itu meneruskan perancangan mereka untuk menyingkirkan watak Bablu lakonan Vikrant Massey dalam musim pertama, dan watak Munna dalam musim kedua.

Memandangkan terlalu ramai peminat yang membuat permintaan bagi kemunculan semula watak Munna, nampaknya pihak penerbit seakan sudah bersetuju untuk mengubah perancangan mereka. "Saya rasa Divyendu akan kembali. Saya tak tahu bagaimana mereka akan menghidupkan semua wataknya, tetapi saya pasti penulis skrip akan jumpa jalan penyelesaiannya.

"Perkara sebegini bukanlah sesuatu yang baru. Watak-watak yang telah mati dihidupkan kembali atas permintaan ramai.

"Jadi kenapa tidak bagi "Mirzapur"?" kata salah seorang pelakon utamanya yang dipetik dari Bollywood Hungama.

Terdahulu, selain Divyendu, siri yang mengangkat tema aksi thriller jenayah itu turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Ali Fazal, Pankaj Tripathi, Kulbhushan Kharbanda, Rasika Dugal dan Shweta Tripathi Sharma.

Walau bagaimanapun, setakat ini penerbit Excel Entertainment masih belum mengumumkan sebarang butiran mengenai pembikinan bagi "Mirzapur" musim ketiga.

(Sumber: Bollywood Hungama)
(Sumber foto: dailygovjob.com)