Bintang Bollywood Priyanka Chopra Jonas dan Deepika Padukone dilaporkan bakal disoal siasat oleh Polis Mumbai berikutan peningkatan kes pengikut palsu di media sosial mula tular sejak akhir-akhir ini.

Difahamkan Priyanka dan Deepika merupakan antara 176 individu terdiri daripada selebriti-selebriti terkenal Bollywood dan atlet-atlet sukan yang dikatakan membeli pengikut palsu di platform digital berkenaan.

Menurut laporan dari DNA India, pihak polis kini sedang menjalankan siasatan terhadap sebuah syarikat pemasaran media sosial (www.followerskart.com).

Ia susulan pihak polis telah menahan seorang suspek bernama Abhishek Dinesh Daude, yang disyaki terbabit dalam penciptaan akaun media sosial palsu.

"Kami telah menjalankan siasatan dan menemui kira-kira 54 buah firma yang terbabit dalam kegiatan ini.

"Pasukan siasatan khas termasuk Cawangan Jenayah dan Sel Siber telah ditubuhkan bagi membantu siasatan," jelas Pesuruhjaya Polis Mumbai Vinay Kumar Chaubey.

Setakat ini, Priyanka mempunyai 55.2 juta pengikut di Instagram dan 26.3 juta pengikut di Twitter, sementara Deepika mempunyai 50.8 juta pengikut di Instagram dan 27.6 juta pengikut di Twitter.

Walau bagaimanapun, setakat ini kedua-dua bintang filem itu masih belum tampil mengeluarkan kenyataan masing-masing berkenaan berita tersebut.

(Sumber: DNA India)
(Sumber foto: Pop Sugar & Bloglovin)