Setiap wanita pasti sentiasa ingin kelihatan cantik dan bergaya apabila berpakaian dan pasti juga anda mempunyai pelbagai jenis seluar jeans sebagai koleksi peribadi dalam almari anda. Ianya mudah untuk digayakan dengan sebarang baju mahupun kasut. Malah ia juga dilabel sebagai pakaian paling kasual di dunia.

Namun begitu, golongan wanita seringkali berdepan dilema untuk memilih seluar jeans yang sesuai dengan bentuk tubuh mereka. Tak semestinya jika ianya mengikut 'trend', ianya sesuai dengan bentuk tubuh anda. Bentuk tubuh badan wanita dikategorikan dalam pelbagai jenis seperti bentuk epal, 'hourglass' (jam pasir), bentuk pir, segi empat sama, segi tiga terbalik dan banyak lagi.

Jangan risau, kali ini kami akan bantu anda memilih seluar jeans yang sesuai dengan bentuk tubuh anda. Pertama sekali, jangan lupa untuk berdiri di hadapan cermin dan telitikan betul-betul bentuk tubuh anda jenis yang mana ya! Bolehlah anda bergaya seperti bintang-bintang Bollywood yang turut kami senaraikan dalam entri kali ini.

Bentuk buah epal

Bentuk tubuh epal adalah apabila bahagian bahu atau dada anda lebih lebar berbanding bahagian pinggul atau peha. Manakala bahagian pinggang pula kurang terbentuk. Oleh itu, anda yang mempunyai tubuh badan berbentuk epal haruslah memfokuskan kepada aset anda iaitu bahagian kaki. Contoh wanita berbadan epal adalah aktres Huma Qureshi yang menggayakan seluar jeans hitamnya dengan ranggi!

Bentuk buah pir

Golongan wanita yang tubuh badannya berbentuk buah pir mempunyai bahagian pinggul dan peha yang lebih lebar daripada bahagian dada dan bahu, serta mempunyai pinggang yang berbentuk. Tips sesuai untuk memastikan seluar jeans anda muat pada bahagian pinggang adalah memilih jenis seluar yang longgar sedikit bagi menyeimbangkan bentuk tubuh anda. Lihat bagaimana aktres Sobhita Dhulipa menggayakan seluar jeans longgar dan berwarna gelap tetapi nampak 'trendy'!

Bentuk hourglass

Bentuk hourglass merupakan bentuk badan paling ideal atau sempurna bagi wanita. Anda boleh dikatakan bertuah kerana mempunyai bahagian bahu, dada, pinggang serta punggung yang sederhana lebar dan berisi. Bahu anda juga selaras dengan bahagian pinggul. Jika anda mempunyai bentuk badan hourglass, anda sama seperti bintang terkenal Kareena Kapoor Khan yang bergaya dengan seluar jeans 'bootcut' ini!

Bentuk segi empat tepat

Salah satu lagi bentuk badan yang ideal adalah bentuk segi empat empat iaitu anda seorang yang tinggi, berkaki panjang, mempunyai pinggang yang tegap persis 'supermodel'. Tubuh badan anda juga kurang berlengkung. Jika anda fikir anda sukar untuk menggayakan sebarang pakaian, anda silap kerana ia adalah sebaliknya! Tak percaya? Cuba lihat bintang jelita Deepika Padukone menggayakan seluar jeans jenis 'baggy' bersama T-shirt yang dimasukkan ke dalam seluar. Ringkas dan bergaya!

Bentuk segi tiga terbalik

Serupa seperti bentuk epal, anda yang mempunyai bentuk tubuh segi tiga terbalik mempunyai bahu atau dada yang lebar. Cuma apa yang bezanya adalah anda mempunyai pinggang yang terbentuk dan sedikit berlekuk. Selain memilih seluar jeans yang sesuai, anda juga perlu peka akan pakaian serta aksesori lain yang akan anda gabungkan bersama. Aktres Janhvi Kapoor tampak menawan dengan kombinasi seluar jeans 'slim-fit', 'stonewashed' dan kasut tumit tinggi!