Aktor dan penerbit Suniel Shetty mendedahkan perancangannya untuk memfilemkan semua projek filem terbarunya di India berbanding di luar negara selepas situasi pandemik COVID-19 berakhir.

Perkara itu diputuskan oleh Shetty bagi memberi keuntungan kepada para pemegang saham berpengkalan di India yang terjejas sejak krisis kesihatan ini berlaku.

Sehubungan dengan itu, baru-baru ini juga Shetty telah melancarkan pertandingan filem pendek di bawah syarikat FTC Talent Media & Entertainment Pvt. Ltd. miliknya.

"Saya akan memfilemkan semua projek saya di India bagi membantu perniagaan kepada orang-orang yang bekerja di sini.

"Untuk itu, saya telah bercadang untuk membuka francais filem pendek FTC serata negara dan setiap peserta yang menyertai pertandingan ini akan menjadi pencipta kandungan kami," katanya yang dipetik dari Hindustan Times.

Menurut Shetty, pertandingan itu bertujuan untuk memberi peluang kepada orang ramai meluahkan idea kreatif masing-masing di rumah dan hadiah bakal menanti para pemenang, termasuk merilis filem mereka di platform digital.

Dalam pada itu, Shetty turut berpendapat bahawa para pembikin filem mungkin akan mempertimbangkan untuk merilis filem mereka di portal penstriman video berbayar berbanding di pawagam.

"Tontonan berbayar akan menjadi keutamaan supaya orang ramai boleh terus membayar dan menonton filem menerusi telefon pintar atau televisyen masing-masing," tambahnya lagi.

Shetty akan kembali ke layar perak dengan beberapa filem terbaru iaitu "Mumbai Saga" yang menggandingkan nama-nama besar Bollywood, filem Telugu "Mosagallu" dan "Pushpa", serta filem Malayalam "Marakkar: Arabikadalinte Simham".

(Sumber: Hindustan Times)
(Sumber foto: Filmy Today)