Isu prejudis warna kulit bukanlah sesuatu yang baru, malah sehingga kini masih ramai yang menjadi mangsa hinaan dan kecaman hanya kerana berkulit gelap, termasuk anak bintang Bollywood Shah Rukh Khan, Suhana Khan.

Dalam perkongsian terbarunya di laman Instagram, Suhana meminta orang ramai untuk berhenti bersikap prejudis terhadap perbezaan warna kulit sekaligus berkongsikan pengalamannya sewaktu kecil.

"Banyak perkara yang sedang berlaku sekarang ini dan ini adalah salah satu isu yang perlu kita perbaiki!! Ini bukan tentang saya saja, ia tentang setiap lelaki dan perempuan muda yang membesar dengan rasa rendah diri.

"Ini adalah beberapa komen yang saya terima tentang penampilan saya. Saya pernah diberitahu yang saya hodoh kerana tona kulit saya, oleh lelaki dan wanita dewasa, sejak saya berusia 12 tahun lagi.

"Selain memikirkan mereka adalah orang dewasa, apa yang lebih menyedihkan adalah kami semua orang India, secara tak langsung kami semua berkulit gelap – ya memang benar warna kulit kami berbeza tetapi tak kira sejauh mana kita cuba lari dari melanin, memang tak akan boleh," tulisnya.

Mengakhiri penjelasannya yang panjang lebar, Suhana akui berbangga dengan warna kulitnya dan sekali lagi meminta orang ramai untuk menghentikan prejudis warna kulit.

Menerusi perkongsian yang sama, Suhana telah mengumpulkan beberapa tangkapan skrin komen negatif yang diterimanya daripada segelintir warganet.

Malah dia turut mentafsirkan komen-komen berbahasa Hindi ke bahasa Inggeris untuk difahami pengikutnya.

Suhana yang kini berada di kediaman keluarganya di India selepas pulang dari New York sejak Mac lalu, sedang sibuk menghadiri kelas secara dalam talian serta dalam proses menyiapkan projek filem pendek keduanya.

(Sumber: Suhana Khan Instagram)
(Sumber foto: Suhana Khan Instagram)