Bintang terkenal Saif Ali Khan mendedahkan pengalaman pahitnya apabila pernah dibuang produksi dari membintangi filem debutnya "Bekhudi" yang ditayangkan pada 1992.

Menurut Saif, pada dia merasakan dirinya tidak memberikan persembahan terbaik sehinggakan pengarah Rahul Rawail berpendapat bahawa Saif tidak berminat untuk membintangi filem tersebut.

"Saya masih ingat lagi situasi hari pertama berada di set penggambaran filem. Saya sedang menjalani penggambaran sebuah lagu dalam "Bekhudi" bersama Rahul Rawail dan aktres gandingan saya, Kajol.

"Saya perlu mengoyakkan sawang lelabah palsu sambil menyanyi. Ianya agak sukar kerana saya perlu mengubah ekspresi wajah saya mengikut lirik lagu tersebut.

"Saya mungkin hampir menjayakannya, tetapi pada ketika itu saya berada di sebuah sekolah berasrama di England dan terkaku apabila mendapat tahu saya dibuang dari filem.

"Mungkin persembahan saya sangat mengecewakan kerana Rahul Rawail merungut yang saya tidak menunjukkan minat untuk membintangi filemnya," luahnya yang dipetik dari Times of India.

Aktor berusia 49 tahun itu kemudiannya ditawarkan untuk membintangi filem "Parampara" arahan Yash Chopra, yang menampilkan pelakon lain seperti Sunil Dutt, Vinod Khanna dan Aamir Khan.

Walaupun dibintangi nama-nama besar, namun filem itu gagal meraih kutipan pecah panggung dan menerima pelbagai maklum balas tidak memberangsangkan daripada para pengkritik filem.

Terbaru, Saif kini mempunyai dua buah filem baru yang berada dalam proses pos-produksi iaitu "Dil Bechara" dan "Bunty Aur Babil 2".

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: Indian Express)