Penerbit dan pengarah Rohit Shetty akhirnya mendedah watak aktres Katrina Kaif sebagai seorang doktor menerusi filem aksi "Sooryavanshi" yang diterajui Akshay Kumar.

Seperti yang dilaporkan oleh Mumbai Mirror, Rohit mendedahkan bahawa Katrina sering bertanya mengenai pembawaan dan penampilan wataknya sepanjang penggambaran berlangsung.

Dalam pada itu, Rohit mendedahkan dia meletakkan harapan yang tinggi bagi filem itu untuk meraih kutipan pecah panggung selain mengutamakan pilihan penonton.

"Ramai yang berkata saya menghasilkan filem-filem komersial tetapi sejak bergelar penerbit, saya menyedari yang saya akan menanggung kerugian besar jika filem saya tidak melebihi 150 crore (RM86 juta).

"Sejak hari pertama penulisan skrip sehingga malam sebelum filem diriliskan, kumpulan produksi saya sedia maklum yang saya boleh mengubah apa sahaja pada saat akhir, jadi mereka sentiasa bersedia," ujarnya.

"Sooryavanshi" merupakan filem keempat yang ditampilkan dalam alam sinematik polis Shetty selepas filem "Singham" 2011, "Singham Returns" 2014 dan "Simmba" 2018.

Sesi penggambaran telah selesai dijalankan pada Mei hingga November 2019 dan filem itu akan menggegarkan pawagam bermula 27 Mac.

(Sumber foto: Pinkvilla)
(Sumber artikel: Mumbai Mirror)