Malang tidak berbau apabila aktor Kartik Aaryan dilaporkan mengalami kemalangan kecil ketika melakukan lagak aksi ketika mempromosikan filem "Love Aaj Kal" di sebuah program realiti tarian bulan lalu.

Kemalangan itu menyebabkan ligamen tangan kanannya terkoyak, namun dia dilihat masih aktif meneruskan sesi promosi filem tersebut bersama aktres Sara Ali Khan.

Dalam laporan terbaru Pinkvilla, Kartik dikatakan telah mempercepatkan pembedahan tangannya agar tidak mengganggu jadual kerjanya yang semakin padat.

"Kartik akan kembali berkolaborasi dengan sebuah acara anugerah tahun ini dan tarikh sesi sidang media telah berlanggar dengan tarikh pembedahannya.

"Memandangkan dia enggan menangguhkan sidang media itu kerana ia akan mengganggu jadual seluruh acara dan komitmennya yang lain, Kartik membuat keputusan untuk mempercepatkan pembedahannya," dedah satu sumber.

Beralih ke perkembangan lain, sesudah sahaja pembedahan, Kartik kembali ke set penggambaran fikem komedi seram arahan Anees Bazmee, "Bhool Bhulaiyaa 2", bersama Tabu dan Kiara Advani di Mumbai.

Selain itu, dia juga akan muncul dalam filem komedi romantik terbitan Karan Johar berjudul "Dostana 2" bersama Janhvi Kapoor, Lakshya, Abhishek Banerjee, Amol Palekar, Kirron Kher dan ramai lagi.

(Sumber: Pinkvilla)
(Sumber foto: Kartik Aaryan Instagram)