Baru-baru ini tular berita yang mengatakan pembikin filem Karan Johar ingin menerbitkan "Student of the Year 3" serta memperkenalkan aktor baru Suhana Khan dan Asim Riaz dalam filem itu.

Walaubagaimanapun, Karan telah menafikannya dan meminta supaya pihak media berhenti menyebarkan berita yang tidak benar itu memandangkan dia tidak pernah mengumumkan perkara tersebut.

"Saya dapati berita tidak berasas tentang pembikinan "Student of the Year 3" sedang disebarkan. Dengan itu saya meminta kepada semua pihak untuk berhenti menerbitkan berita ini," tulisnya menerusi laman Twitter.

Jika filem itu direalisasikan, ia merupakan filem ketiga dari francais tersebut selepas "Student of the Year" dan "Student of the Year 2" yang dibintangi Sidharth Malhotra, Varun Dhawan, Alia Bhatt, Tiger Shroff, Tara Sutaria dan Ananya Panday.

Beralih ke perkembangan lain, Karan bakal muncul dengan filem adiwira terbitannya berjudul "Brahmastra", menampilkan aktor-aktor hebat seperti Amitabh Bachchan, Ranbir Kapoor, Alia Bhatt, Mouni Roy serta penampilan khas oleh Shah Rukh Khan.

Diarahkan oleh Ayan Mukerji, filem yang dinanti-nanti ramai itu kini dalam proses pos produksi dan bakal dirilis di pawagam pada 4 Disember 2020.

Selain itu, Karan juga bakal mengarah filem yang mengangkat tema sejarah buat kali pertama menerusi filem "Takht", yang dibintangi Kareena Kapoor, Ali Bhatt, Ranveer Singh, Janhvi Kapoor, Bhumi Pednekar, Anil Kapoor dan Vicky Kaushal.

Menurut maklumat yang diumumkan oleh Karan pada awal bulan ini, filem itu dijangka akan diriliskan pada 24 Disember 2021, bersamaan dengan Hari Natal.

(Sumber foto: Karan Johar Instagram)