Keterujaan peminat bintang Bollywood Kajol kian memuncak apabila treler filem pertamanya di platform digital iaitu "Tribhanga - Tedhi Medhi Crazy", telah dilancarkan di YouTube.

Seperti yang dijangka, jumlah tontonan treler itu berjaya mencatat angka tinggi melebihi sejuta tontonan sejak ia dilancarkan pada 3 Januari lalu.

Diarahkan oleh Renuka Shahane, "Tribhanga" memaparkan kisah tiga wanita berbeza generasi, Anu, Nayan dan Masha, yang menjalani hidup mereka mengikut kehendak masing-masing.

Treler itu memaparkan situasi Nayan yang jatuh koma dan dikejarkan ke hospital, dan Anu yang mengimbas kenangan-kenangan bersama ibunya Masha, yang kini hidup berjauhan.

"Kita perlu mendakap ketidaksempurnaan ini dan hidup mengikut cara kita sendiri, seperti mana Nayan, Anu dan Masha lakukan dalam filem ini.

"Watak saya adalah seorang yang suka berterus terang dan memberikan pendapat, sama seperti bagaimana penonton mengenali saya, namun ia berbeza sepenuhnya.

"Sebagai seorang ibu, saya tak menafikan terdapat cabaran-cabaran yang kaum wanita perlu hadapi setiap hari dan walaupun ia perkara kecil, ia akan memberi kesan kepada anak-anak kita.

"Dunia keibuan adalah dunia yang penuh dengan emosi dan Renuka dapat menggambarkannya dengan baik sekali," kata Kajol yang dipetik dari NDTV.

Tambah bintang filem "Kuch Kuch Hota Hai" itu lagi, dia juga teruja untuk mempersembahkan filem itu kepada penonton dan berharap ia diterima oleh generasi pelbagai umur.

Sedikit butiran, Tribhanga adalah sejenis posisi yang ditampilkan dalam tarian tradisional dan klasik India iaitu Odissi.

Selain Kajol, filem itu turut dibintangi barisan pelakon lain seperti Tanvi Azmi, Mithila Palkar, Kunaal Roy Kapur, Vaibhav Tatwawaadi, Manav Gohil dan ramai lagi. Ia telah mula ditayangkan di Netflix pada 15 Januari.

(Sumber foto: Filmibeat)