Di sebalik kejayaannya sebagai bintang Bollywood terkemuka, Kajol menyimpan kenangan pahit yang perlu ditelannya ketika zaman kanak-kanak.

Pada usia seawal empat tahun, tidak dinafikan ia adalah suatu perkara yang sukar untuk Kajol menerima kenyataan bahawa ibu bapanya, Tanuja dan Shomu Mukherjee, membuat keputusan untuk membawa haluan masing-masing.

Bagaimanapun, aktres filem "Dilwale Dulhania Le Jayenge" itu tidak menganggap ia sebagai sesuatu halangan untuk dia meneruskan hidup.

"Saya telah menerima didikan terbaik. Saya sangat bertuah kerana dibesarkan oleh seseorang yang hebat dan berfikiran ke hadapan serta mengajar pelbagai perkara tentang kehidupan dan menjadi orang dewasa sejak saya masih kanak-kanak.

"Namun saya faham jika semua itu berlaku sebaliknya dan apa yang akan terjadi. Ibu bapa saya bercerai ketika umur saya mencecah empat tahun setengah dan ia mungkin boleh memburukkan situasi.

"Saya mempunyai ramai rakan yang ibu bapa mereka masih bersama tetapi hubungan mereka renggang. Saya sayangkan ibu bapa saya, tak kira sama ada mereka berpisah atau masih bersama," katanya yang dipetik dari Times of India.


Kajol ketika kecil bersama ibu, bapa dan adiknya Tanishaa.

Walaupun tinggal berasingan, namun Kajol masih berkongsi hubungan mesra bersama orang tuanya dan menyayangi mereka tanpa berbelah bahagi, terutama ibunya yang telah banyak mengajarnya erti kehidupan.

Seperti yang pernah diceritakan sebelum, bapanya pernah melarang keputusannya untuk berkahwin dengan aktor Ajay Devgn ketika berusia 24 tahun kerana inginkannya untuk fokus terhadap kerjaya yang sedang dibina.

Kajol dan Ajay akhirnya disatukan sebagai suami isteri selepas meyakinkan ibu bapanya dan kini mereka dikurniakan dua cahaya mata, Nysa dan Yug.

(Sumber foto: Times of India)