Bintang Bollywood Eijaz Khan mengejutkan ramai apabila dia membuat keputusan untuk mengundur diri dari program realiti popular "Bigg Boss 14" baru-baru ini.

Menurut sumber yang dipetik dari Pinkvilla, Eijaz terpaksa menarik diri untuk memberi tumpuan kepada komitmen kerja lain, termasuk penggambaran projek terbarunya.

"Eijaz adalah peserta yang berjaya mengukuhkan tempatnya dalam program itu. Namun, dia perlu meninggalkannya atas urusan kerja.

"Memandangkan durasi program itu telah dilanjutkan, jadualnya berlanggar dengan komitmen profesional Eijaz yang lain. Dia tak suka buat orang lain ternanti-nanti dan mengganggu jadual mereka.

"Kru produksi kekurangan kerja kerana pandemik, jadi dia mahu berada tepat pada waktunya untuk membantu semua kru mendapat keuntungan," jelas sumber tersebut.

Sehubungan dengan itu, aktres Devoleena Bhattacharjee dilaporkan akan menyertai "Bigg Boss 14" untuk menggantikan tempat Eijaz.

Dalam pada itu, para peminat mengucapkan selamat jalan kepada Eijaz dengan menularkan slogan 'No Eijaz No BB14' di media sosial.

Terdahulu, Eijaz membuat pengakuan bahawa dia menyimpan perasaan kepada Pavitra Punia dan merinduinya sejak pelakon "Naagin" itu disingkirkan dari program tersebut.

(Sumber foto: Eijaz Khan Team Twitter)