Sekian lama bergelar penerbit dalam industri perfileman Bollywood, kini Boney Kapoor bersedia untuk mengembangkan kariernya sebagai aktor pada usia 66 tahun.

Memetik laporan dari News18, Boney mengesahkan bahawa dia bakal membintangi sebuah filem arahan Luv Ranjan, yang menampilkan Ranbir Kapoor dan Shraddha Kapoor sebagai peneraju utama.

Sehubungan dengan itu, Boney memberitahu sepanjang kariernya, dia tidak pernah terfikir untuk mencuba nasib sebagai aktor, malah dia turut menolak tawaran Luv pada awalnya bagi memberi tumpuan terhadap kerja-kerja produksi.

Bagaimanapun, pujukan anaknya yang juga aktor, Arjun Kapoor, berjaya mengubah fikirannya untuk menerima tawaran tersebut.“Arjun memberitahu saya bahawa ini adalah satu perubahan yang baik dan juga peluang untuk berehat dari tekanan produksi buat sementara waktu,” katanya.

Jelas suami kepada mendiang aktres Sridevi itu lagi, dia tidak berasa gementar untuk melangkah ke dunia lakonan buat kali pertama.

Menerusi filem komedi romantik yang belum diberi judul itu, Boney akan menggalas watak sebagai bapa kepada Ranbir. Penggambarannya pula berlangsung dalam minggu ini.

Dalam perkembangan lain, Boney mempunyai beberapa projek filem terbitannya dalam tangan seperti “Maidaan”, trilogi “Mr. India”, filem Telugu “Vakeel Saab” dan filem Tamil “Valimai”.

(Sumber foto: InvisibleBaba Blog)