Aktres Yami Gautam mula menjejak langkah dalam dunia perfileman Bollywood menerusi filem debutnya iaitu "Vicky Donor" yang berjaya meraih kutipan pecah panggung selepas ia ditayangkan pada 2012.

Mengimbau kembali kejayaan "Vicky Donor", Yami mendedahkan punca utama dia menerima tawaran berlakon filem itu adalah kerana keinginannya untuk bekerjasama dengan pengarah Soojit Sircar.

"Saya pernah menonton filem "Yahaan" dan berpendapat bahawa ia adalah sebuah filem yang hebat. Apabila saya mendapat tahu tentang konsep "Vicky Donor" dan saya menyertai uji bakat, naluri saya berharap saya dapat watak ini.

"Konsep filem ini sangat menarik dan baru, malah skripnya juga melucukan. Tak ramai pendatang baru yang berpeluang untuk menjayakan watak sebegini. Saya sangat gembira apabila saya diterima untuk watak itu.

"Saya menganggap ia suatu pengalaman yang istimewa dan bertuah kerana dapat bekerja di bawah arahan Soojit Sircar untuk filem Hindi pertama saya.

"Tambahan pula seluruh tenaga produksi saling bekerjasama dan menyokong antara satu sama lain, membuatkan filem ini sangat bermakna," ujarnya yang dipetik dari Times of India.

"Vicky Donor" menggandingkan Yami bersama aktor Ayushmann Khurrana, di mana Yami membawa watak Ashima iaitu isteri kepada Ayushmann, seorang penderma sperma bernama Vicky.

Untuk rekod, filem terbitan John Abraham bersama Ronnie Lahiri itu pernah dinobatkan sebagai Filem Popular Terbaik Yang Menyediakan Hiburan Berfaedah bagi Anugerah Filem Nasional ke-60.

Dalam perkembangan lain, Yami bakal berganding dengan aktor Vikrant Massey bagi filem terbarunya "Ginny Weds Sunny", yang mana penggambarannya kini ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: Yami Gautam Instagram)