Anil Kapoor akui tidak terima tawaran watak filem "Malang" kerana bimbang dibandingkan dengan watak yang dibawa sebelumnya.

Aktor Anil Kapoor memberitahu dia sudah bersedia untuk mencabar diri dan keluar dari zon selesa dengan menjayakan watak atau filem yang lebih berat pada masa akan datang.

"Saya ingin melakukan sesuatu di luar jangkaan dan progresif. Walaupun ia tidak ada kaitan dengan orang ramai pada zaman ini, saya yakin mereka akan menerimanya dalam lima tahun lagi.

"Buat masa ini saya ingin berada di luar zon selesa, sentiasa berasa gusar dan tercabar," katanya yang dipetik dari Times of India.

Dalam pada itu, Anil akan dilihat menerusi filem "Malang" arahan Mohit Suri, yang mana akan menampilkannya sebagai watak polis jahat bernama Anjaney Agashe.

"Saya tidak menerima watak itu dengan segera kerana bimbang ia akan dibandingkan dengan watak polis saya sebelum ini.

"Saya ada bertanya kepada mereka jika saya boleh jayakan watak polis baik yang dilakonkan oleh Kunal Khemu," dedahnya, namun Mohit meyakinkannya bahawa dia adalah aktor paling sesuai bagi watak tersebut.

Turut dibintangi Aditya Roy Kapur dan Disha Patani sebagai watak utama, filem "Malang" akan ditayangkan di pawagam bermula 7 Februari ini.

Selain itu, Anil juga bakal tampil dalam filem sejarah arahan Karan Johar berjudul "Takht" yang padat dengan babak aksi. Filem terbitan Dharma Productions itu dijangka untuk diriliskan pada 24 Disember 2021.

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: GQ India)