Sebagai seorang wanita bekerjaya yang mempunyai jadual kerja yang padat, bintang Bollywood Tabu masih belum terfikir untuk mendirikan rumah tangga biarpun usianya kini mencecah 50 tahun.

Memetik laporan dari Times of India, Tabu pernah memberitahu bahawa rakan baiknya yang juga aktor dan penerbit terkenal, Ajay Devgn, adalah punca dirinya masih solo sehingga ke hari ini.

Buat pengetahuan lanjut, Tabu dan Ajay sama-sama membesar dalam kawasan kejiranan yang sama, maka tidak hairanlah jika mereka mempunyai hubungan persahabatan yang akrab.

"Saya telah mengenali Ajay Devgn selama lebih 25 tahun. Ajay adalah jiran dan kawan baik kepada sepupu saya, Sameer Arya. Kami membesar bersama.

"Sewaktu zaman kanak-kanak, Sameer dan Ajay akan mengintip dan mengekori ke mana saja saya pergi dan mengugut mana-mana budak lelaki yang bercakap dengan saya.

"Mereka berdua adalah pembuli dan jika saya masih solo hari ini, ia semua berpunca daripada Ajay. Saya harap dia menyesal dengan perbuatannya," gurau pemilik nama asal Tabassum Fatima Hashmi itu.

Terdahulu, Tabu pernah bercinta dengan aktor Sanjay Kapoor, pembikin filem Sajid Nadiadwala dan aktor Nagarjuna, namun ketiga-tiga kisah cintanya tidak kesampaian.

Kali terakhir Tabu dilihat berlakon adalah menerusi filem "Jawaani Jaaneman" dan dia bakal tampil dalam filem baru, "Bhool Bhulaiyaa 2" yang kini masih dalam proses produksi.

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: orissapost.com)