Kes pergaduhan yang berlaku antara pengarah Siddharth Anand dan kru produksi di set penggambaran filem Shah Rukh Khan, "Pathan" telah menjadi buah mulut ramai baru-baru ini.

Sehubungan dengan itu, pembikin filem Aditya Chopra, yang juga pemilik Yash Raj Studios di mana penggambaran berlangsung, berharap agar pihak atasan menyiasat perkara sebenar di sebalik insiden tersebut.

"Walaupun kumpulan produksi "Pathan" cuba melepaskan insiden itu sebagai satu pertengkaran, namun tidak ada keraguan tentang insiden bertumbuk yang berlaku.

"Perkara sebegini tidak pernah berlaku di Yash Raj Studios, apatah lagi di set penggambaran filem yang dibintangi Shah Rukh Khan. Agak kecewa dengan ketiadaan disiplin di tempat kerja.

"Aditya tidak menganggap ia perkara kecil. Dia telah mengarah siasatan untuk dijalankan berhubung insiden ini," dedah sumber yang dipetik dari Bollywood Hungama.

Dalam pada itu, Shah Rukh Khan turut dilaporkan berasa bimbang akan keselamatan para wanita yang berada di set penggambaran ketika lelaki-lelaki itu sedang bergaduh.

Difahamkan sebelum insiden, Siddharth yang mempunyai peraturan sendiri ketika bekerja, naik angin dengan salah seorang kru kerana tidak fokus dan leka bermain telefon bimbitnya.

Malah, kru itu tidak mempedulikan permintaannya, menyebabkan kekecohan berlaku sebelum kedua-duanya naik tangan.

Walau bagaimanapun, penggambaran kembali berlangsung seperti biasa selepas pihak produksi mengambil waktu rehat untuk meredakan keadaan.

(Sumber foto: Filmfare & Santa Banta)