Memegang gelaran sebagai salah seorang aktor Bollywood yang menerima bayaran tertinggi pada 2020, maka tidak hairan Ranveer Singh sering memberi persembahan lakonan terbaik.

Setelah menjayakan filem "'83" dan "Sooryavanshi", Ranveer kini terlibat dengan penggambaran filem komedi terbaru arahan Rohit Shetty, "Cirkus".

Lebih menarik lagi, setelah lebih sedekad menceburi industri perfileman Bollywood, ini merupakan kali pertama Ranveer diberi peluang untuk menjayakan dua watak dalam filem.

Memetik laporan dari Bollywood Hungama, difahamkan suami kepada aktres Deepika Padukone itu telah meminta bayaran tinggi.

"Ranveer Singh telah menjadi salah seorang daripada nama-nama selebriti yang diyakini membawa keuntungan dan nilai bayarannya dari satu filem ke satu filem juga semakin meningkat.

"Untuk "Cirkus", dia telah meminta kadar bayaran sebanyak Rs. 50 Crores (lebih RM27 juta), dan dijangka akan meningkatkan bayarannya dengan kejayaan setiap filem lakonannya," dedah sumber.

Tambah sumber itu lagi, penggambaran telah berlangsung sejak November tahun lalu dan kini pihak produksi meneruskan penggambaran di Mumbai sebelum menamatkannya pada Mac depan.

Buat makluman lanjut, filem itu merupakan adaptasi pementasan William Shakespeare "The Comedy of Errors", maka hampir keseluruhan babaknya difilemkan di dalam studio.

Selain Ranveer, "Cirkus" turut dibintangi barisan pelakon Bollywood hebat seperti Jacqueline Fernandez, Pooja Hegde, Varun Sharma, Siddhartha Jadhav, Johnny Lever, Sanjay Mishra dan ramai lagi.

(Sumber foto: Storypick & Bollywood Hungama)