Sepanjang kariernya, aktres popular Kajol telah mewarnai industri filem Bollywood dengan pelbagai filem dan watak menarik yang menjadi punca dia kekal relevan hingga ke hari ini.

Setelah menjayakan filem "Tribhanga - Tedhi Medhi Crazy" baru-baru ini, Kajol terdorong untuk berkongsi pengalamannya bergelar ibu memandangkan filem itu memberi fokus terhadap kisah wanita.

Menurut isteri kepada aktor dan penerbit Ajay Devgn itu, dia perlu berdepan pelbagai tekanan masyarakat bagi memastikan dia menjadi ibu yang baik kepada anak-anaknya, Nysa dan Yug.

"Jika awak tak masak atau ambil anak dari sekolah, awak adalah ibu yang tak baik dan jika awak tak hadiri mesyuarat PTA, ia juga membuatkan awak jadi ibu yang tak baik.

"Jadi terdapat banyak perkara yang membuatkan awak seorang ibu yang tak baik dan tak cukup untuk membuatkan anda digelar ibu yang baik.

"Saya sentiasa mengagumi ibu-ibu yang duduk di rumah dan terfikir bagaimana mereka melakukan kerja dengan begitu mudah," katanya yang dipetik dari Pinkvilla.

Dalam pada itu, aktres filem "Kuch Kuch Hota Hai" itu turut mengakui bahawa dia tidak mempercayai buku-buku berkaitan keibubapaan dan lebih selesa mengikut cara tersendiri untuk membesarkan anak-anak.

Malah, dia juga banyak mempelajari ilmu kekeluargaan daripada ibu tercinta, Tanuja Mukherjee, yang membesarkannya sejak kecil setelah berpisah dengan suami.

"Perkara paling penting yang ibu sampaikan pada saya adalah biarkan anak-anak belajar membuat keputusan sendiri dan mencari tahu jika mereka boleh menilai akibatnya atau tak," katanya.

Diarahkan oleh Renuka Shahane, "Tribhanga - Tedhi Medhi Crazy" telah ditayangkan menerusi YouTube. Selain Kajol, filem itu turut dibintangi pelakon lain seperti Tanvi Azmi, Mithila Palkar, dan Kunaal Roy Kapur.

(Sumber foto: India.com)