Keserasian bintang Bollywood terkenal, Shah Rukh Khan dan Deepika Padukone, menerusi lakonan mereka dalam filem romantik "Chennai Express" berjaya memukau mata penonton. Malah sehingga kini filem itu masih relevan untuk ditonton dan menjadi salah satu filem ikonik bagi dua bintang tersebut.

Diarahkan oleh Rohit Shetty, "Chennai Express" mengisahkan Rahul Mithaiwala dalam perjalanan dari Mumbai ke Rameshwaram, di mana bermula kisah cintanya dengan seorang gadis jelita bernama Meenalochni "Meenamma" Azhagusundaram, yang juga merupakan anak kepada seorang ketua mafia.

Kepada para peminat Shah Rukh Khan dan Deepika Padukone, jangan terlepas untuk menonton "Chennai Express" secara eksklusif di Astro Colors Hindi (saluran 116) pada 31 Januari ini, jam 10.30 malam! Sebelum itu, mari kita lihat beberapa fakta menarik tentang "Chennai Express" yang anda mungkin tak tahu!

Filem pertama yang mengkreditkan aktres sebelum aktor

Seperti yang kita perhatikan dalam filem-filem Bollywood, pembikin filem akan mengkreditkan nama pelakon lelaki terlebih dahulu. Namun Deepika Padukone menjadi aktres pertama yang dikreditkan dalam "Chennai Express", diikuti dengan nama Shah Rukh Khan. Perkara itu diumumkan bersempena dengan Hari Wanita Sedunia, dan filem ini juga ditayangkan bersempena hari yang sama.

Judul asal filem diubah

Difahamkan Rohit Shetty ingin judul filem itu berkait dengan elemen Selatan. Maka judul "Ready Steady Po" menjadi pilihan utamanya. Namun setelah meneliti eleman itu berserta dengan babak Shah Rukh Khan dan Deepika menaiki kereta api, Shetty mengubah judul kepada "Chennai Express", manakala judul asalnya pula digunakan sebagai slogan filem.

Deepika Padukone ganti Kareena Kapoor

Pada asalnya, Rohit Shetty memilih aktres Kareena Kapoor untuk digandingkan dengan Shah Rukh Khan dalam filem ini. Bagaimanapun, pada ketika itu Kareena terikat dengan penggambaran filem "Talaash", jadi dia terpaksa menolak tawaran Shetty. Watak Meenamma akhirnya jatuh ke tangan Deepika Padukone dan dia berjaya menggalas watak itu dengan begitu baik.

Langkah promosi kreatif

Jarang sekali kita dapat lihat industri Bollywood menghasilkan aplikasi permainan video bertemakan filem bukan? Maka pembikin filem "Chennai Express" mengambil langkah inisiatif untuk mempromosikan filem mereka secara kreatif, iaitu dengan menghasilkan permainan video khas bagi pengguna Android. Permainan video itu telah dilancarkan beberapa hari sebelum tayangan "Chennai Express". Ia menampilkan Shah Rukh Khan sebagai karakter utama dan ia berjaya laris di pasaran.

Lagu "1234" naikkan populariti Priyamani

Sepupu kepada aktres Vidya Balan, Priyamani berjaya mencipta nama menerusi filem ini dengan lagu popularnya "1234". Menerusi babak lagu itu, Priyamani, yang juga aktres dari Selatan India, mempamerkan bakat tariannya di samping Shah Rukh Khan. Untuk rekod, Priyamani pernah memenangi Anugerah Nasional atas kejayaannya dalam filem Tamil, "Paruthi Veeran".

Cipta fenomena dengan kutipan pecah panggung

Seperti yang dijangka, "Chennai Express" berjaya mendapat sambutan tinggi sejak hari pertama tayangannya. Setelah ditayangkan di seluruh dunia, filem ini berjaya meraih kutipan lebih RM200 juta, iaitu tiga kali ganda dari kos pembikinannya! Ia juga menjadi filem Bollywood dengan kutipan tertinggi di seluruh dunia, menewaskan filem Aamir Khan, "3 Idiots".