Berikutan rusuhan besar-besaran yang menggegarkan India baru-baru ini, aktres Deepika Padukone membuat keputusan untuk membatalkan aktiviti promosi filem "Chhapaak" di New Delhi.

Perkara itu disokong oleh pengarah Meghna Gulzar memandangkan situasi rusuhan membantah undang-undang kerakyatan baru kian memuncak, mengakibatkan kerosakan di beberapa kawasan bandar tersebut.

Undang-undang itu disifatkan sebagai anti-Islam kerana ia memudahkan kerakyatan orang bukan Islam dari tiga negara jiran iaitu, Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan.

"Kami percaya pihak kami akan dianggap tidak sensitif jika promosi filem kami diteruskan dalam keadaan negara dan bandar itu kini berada dalam pergolakan emosi.

"Kami mendoakan supaya negara kami kekal aman dan harmoni. Segala kesulitan amat dikesali dan kami berharap anda faham," ujar mereka seperti yang dipetik dari Hindustan Times.

Menerusi filem "Chhapaak", Deepika menggalas watak sebagai seorang mangsa serangan asid yang terselamat. Filem itu menceritakan bagaimana wanita itu bangkit semula dan menjalani hidup baru.

Diterbitkan oleh Fox Star Studios, filem itu akan dirilis di pawagam bermula 10 Januari 2020, serentak dengan filem-filem besar seperti "Tanhaji: The Unsung Warrior" dan "Darbar".

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber foto: HD Wallpapers)
(Sumber artikel: Hindustan Times)