Demi mengejar gelaran pelakon versatil, aktres Bhumi Pednekar memberitahu dia tiada masalah jika ditawarkan untuk membawa watak cameo dalam sesebuah filem.

"Kandungan sesebuah filem sentiasa mendorong saya. Sebagai seorang artis, saya bernasib baik kerana terlibat dengan filem-filem hebat tahun lalu. Saya ingin menjadi sebahagian daripada naskhah terbaik yang dihasilkan oleh industri kami.

"Ia merupakan salah satu impian peribadi saya, jadi jika saya ditawarkan untuk membawa watak cameo dalam sesebuah filem yang bagus, saya tidak akan teragak-agak untuk menerimanya," katanya yang dipetik dari Mumbai Mirror.

Sehubungan dengan itu, Bhumi akan membuat penampilan cameo dalam dua buah filem terbaru tahun ini iaitu filem seram "Bhoot Part One: The Haunted Ship" dan "Shubh Mangal Zyada Saavdhan".

Harapannya adalah supaya watak cameo yang penting akan meninggalkan kesan mendalam terhadap filem-filem tersebut serta para penonton.

Selain dua filem itu, Bhumi juga akan menjayakan watak utama dalam filem komedi terbitan Ekta Kapoor berjudul "Dolly Kitty Aur Woh Chamakte Sitare", yang mana dia akan digandingkan dengan Konkona Sen Sharma.

Sebuah lagi adalah filem thriller seram arahan G. Ashok berjudul "Durgavati", diinspirasikan dari filem Telugu "Bhaagamathie" yang digarap oleh pengarah sama pada 2018.

(Sumber: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Bhumi Pednekar Instagram)