Aktor Ali Fazal memberitahu tempoh berehat yang diambil buat masa ini adalah untuk memperbaiki diri dan mengumpul tenaga untuk beraksi dalam projek-projek filem yang akan datang.

"Setiap artis mempunyai cara unik yang tersendiri untuk karyanya. Cara saya mudah, tumpukan sepenuh perhatian dalam sesuatu projek dan kemudian kumpul tenaga semula untuk projek seterusnya.

"Boleh dikatakan buat masa ini saya dalam proses pemulihan. Saya ingin gunakan masa ini untuk memperbaiki diri dan meneroka sesuatu yang baru dalam diri saya bagi filem-filem yang akan datang.

"Sejak kebelakangan ini saya banyak membaca dan menulis. Sebelum jadual kembali padat dengan kerja, saya ingin luangkan masa untuk diri sendiri dan keluarga," katanya yang dipetik dari Times of India.

Sejak September tahun lalu, Ali dilihat sibuk menjalani penggambaran filem Hollywood terbarunya di London berjudul "Death on the Nile" arahan Kenneth Branagh, yang pernah menggarap filem adiwira Marvel "Thor".

Menerusi filem thriller misteri yang diadaptasi dari novel oleh Agatha Christie itu, Ali akan berkongsi skrin dengan beberapa aktor Hollywood seperti Russell Brand, Gal Gadot dan Letitia Wright.

Diterbitkan oleh Kinberg Genre dengan kerjasama The Mark Gordon Company dan Scott Free Productions, "Death on the Nile" akan ditayangkan pada 9 Oktober 2020.

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: WWD)