Penyanyi dan aktor Himesh Reshammiya meluahkan keterujaannya apabila bakal membintangi filem romantik terbaru arahan Rajesh Sethi yang diberi judul "Namastey Rome" sebagai peneraju utama.

Sehubungan dengan itu, Himesh juga akan kembali berkolaborasi bersama penulis lirik Javed Akhtar selepas 13 tahun bagi menghasilkan lirik bagi runut bunyi filem tersebut.

Sebelumnya, Himesh dan Javed pernah bekerjasama bagi menghasilkan lirik bagi runut bunyi filem komedi romantik "Namastey London" (2007) yang diterajui Akshay Kumar dan Katrina Kaif.

""Namastey Rome" adalah sebuah filem romantik berdasarkan kisah benar, saya dan Javed sangat suka dengan subjek ini. Muzik yang dihasilkan untuk filem ini juga sangat menarik.

"Saya berbangga untuk mengatakan ia lebih baik daripada muzik filem pecah panggung "Namastey London". Kami akan menampilkan sesuatu yang berbeza memandangkan kumpulan kami telah meletakkan harapan yang tinggi.

"Ini merupakan kali pertama saya membintangi filem yang sepenuhnya berdasarkan kisah benar. Ia sebuah kisah cinta berbeza namun berkait rapat dengan orang ramai. Peneraju wanita utama dan para pelakon lain akan diumumkan kelak," katanya yang dipetik dari Cinema Express.

Kali terakhir Himesh dilihat di skrin lebar adalah menerusi filemnya yang ke-10 berjudul "Happy Hardy and Heer" yang ditayangkan pada 31 Januari baru-baru ini.

Selain "Namastey Rome", yang mana dia telah pun menyertai beberapa bengkel lakonan bersama pengarah, Himesh juga akan membintangi sekuel filem "The Xposé" (2014).

Di samping itu, Himesh turut bekerja belakang tabir dalam menghasilkan muzik bagi filem "Radhe: Your Most Wanted Bhai" lakonan Salman Khan, serta menjadi juri bagi program realiti nyanyian Indian Idol.

(Sumber: Cinema Express)
(Sumber foto: Himesh Reshammiya Instagram)